SEJARAH PERKEMBANGAN PERUBATAN HOMEOPATI
LATAR BELAKANG SAMUEL HAHNEMANN
Christian Friedrich Samuel, iaitu nama sebenar yang diberikan kepada Dr. Samuel Hahnemann merupakan seorang ahli perubatan berbangsa German yang dilahirkan di Meissen, German Timur pada tahun 1755. Semasa menerima pendidikan tinggi di eissen, beliau dianggap sebagai seorang pelajar yang cerdas dan pintar. Menjelang tahun 1775, beliau meneruskan pelajarannya di Universiti Leipzig dalam bidang perubatan. Dua tahun kemudian, beliau meninggalkan universiti tersebut dan menetap di Vienna dan Transylvania. Di sana, beliau bertekad mempelajari bahasa-bahasa lain supaya pengetahuannya dalam ilmu perubatan dapat dipertingkatkan. Walau bagaimanapun, beliau mengambil keputusan untuk menamatkan pengajian perubatannya di Universiti Erlangen dan di situlah beliau dianugerahkan ijazah Doctor Of Medicine pada 10 Ogos, 1779.
Dr. Hahnemann memulakan kariernya sebagai pengamal perubatan di Hettstedt, iaitu sebuah perkampungan galian di Saxony. Sewaktu di situ, beliau berasa amat sedih dan kesal kerana tidak dapat memberikan rawatan yang berkesan dan sempurna memandangkan keadaan hidup para pelombong serta keluarga di situ hidup merana. Tambahan lagi, amalan perubatan pada waktu itu sangat mementingkan pembuangan penyakit dan pembedahan, sedangkan penbedahan terhadap penyakit itu tidak begitu diperlukan. Akibatnya, penduduk di situlah yang terpaksa menanggung kesusahan dan kesengsaraan. Lebih-lebih lagi, ubat-ubat yang berbahaya adalah begitu mudah diberikan kepada pesakit-pesakit yang didapati sukar untuk disembuhkan. Situasi sedemikian telah menyakinkan Dr. Hahnemann bahawa "lebih ramai manusia mati disebabkan rawatan berbanding kerana penyakitnya". (Mohd. Hatta A. Bakar: 3).
Apabila menyedari keadaan ini, Dr. Hahnemann berpindah ke Dresden dan menyambungkan pelajarannya dalam ilmu kimia dan perubatan. Semasa di situ, Dr. Hahnemann sentiasa memberikan komentarnya tentang amalan perubatan pada waktu itu sebagai kasar, tidak bertamaddun dan kurang berkesan. Kritikan ini menimbulkan ketidak-senangan hati pihak yang berada dalam profesion perubatan. Oleh itu, dalam jangka masa 5 tahun, Hahnemann sentiasa berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain.
IDEA KEMUNCULAN HOMOEOPATI
Dalam saat-saat kesukaran inilah sistem perubatan baru yang dikenali sebagai Homeopathy mula berkembang. Semasa Dr. Hahnemann menterjemah sebuah buku daripada bahasa Inggeris kepada bahasa German yang ditulis oleh Dr. William Cullen yang berjudul A Treaties On Materia Medica, beliau telah berdepan dengan sejenis ramuan yang dikenali Cinchona officinalis (Peruvian Bark). Ubat ini pernah digunakan untuk merawat malaria di Amerika Selatan dan Eropah. Oleh sebab didorong oleh perasaan yang ingin tahu sangat, Dr. Hahnemann telah mencuba beberapa dos Cinchona dengan tujuan untuk mengetahui kesan dan implikasinya. Setelah mencuba beberapa dos, tanda-tanda utama mula menjelma. Kaki dan jarinya menjadi sejuk, rasa mengantuk secara tiba-tiba, jantung dan denyutan nadinya kian kencang dan tubuhnya menggeletak. Kejadian ini berulang setiap kali apabila dos Cinchona diambil. Daripada kejadian ini, Dr. Hahnemann lantas terfikir suatu prinsip tabii yang dikenali prinsip seraksi (law of similars) yang menekankan bahawa sesuatu ramuan ubat itu boleh menyembuhkan pesakit disebabkan ia boleh menghasilkan tanda-tanda yang serupa apabila ia diberikan kepada orang yang sihat. Walau bagaimanapun, beliau masih tidak begitu menghargai kepentingan penemuannya itu pada peringkat awal.
Menjelang tahun 1799, wabak demam Scarlet telah merebak di Leipzig. Dalam situasi ini, Dr. hahnemann mendapati Belladonna sangat similar dengan tanda-tanda demam Scarlet. Jadi, beliau dengan penuh yakin memberikan penawar Belladonna kepada kanak-kanak di Leipzig dalam dos yang telah diperkecilkan. Akibatnya, ramai yang terselamat daripada demam Scarlet. Sungguhpun saranan beliau terhadap penawar Belladonna mendapat tentangan orang ramai, tetapi pada tahun 1838, kerajaan Saxon mengiktiraf Beladonna sebagai penawar bagi demam Scarlet.
PERKEMBANGAN HOMEOPATI SELEPAS 1800-AN
Pada tahun 1810, karya Dr. Hahnemann yang bertajuk Organon Of The Healing Art telah diterbitkan. Di dalam organon inilah Dr. Hahnemann mengembangkan prinsip asas homoeopati kepada SIMILIA SIMILIBUS CURENTUR atau let likes be cured with likes, sementara teras sains yang dianjurkan oleh Dr. Hahnemann dalam seni kesembuhan adalah terdiri daripada prinsip seraksi, pilihan dos minimum yang sesuai dan ulangan dos. Kini, organon tersebut telah diiktiraf di seluruh dunia.
Di samping itu, Hahnemann turut menubuhkan kesatuan yang dikenali The Provers Union di mana ahli-ahli persatuan ini adalah terdiri daripada beberapa orang doktor daripada sahabat beliau. Persatuan inilah yang telah mengambil risiko dalam menguji khasiat penawar dari bahan kimia, akar tumbuhan dan garam-galian. Akibatnya, hasil penemuan mereka amat berjaya dan telah diterbitkan dalam buku Meteria Medica Pura pada tahun 1811.
KEMEROSOTAN PERUBATAN HOMEOPATI
Walau bagaimanapun, pengamalan homeopati yang menegaskan penggunaan dos yang sedikit ini telah membangkitkan pembancuh-pembancuh ubat yang mengalami kerugian besar semenjak homoeopati diperkenalkan. Akibatnya, undang-undang Constitutiones Frederici II Imperatoris telah diluluskan bagi tujuan mengehadkan kerja-kerja membancuh ubat hanya dikhaskan orang-orang tertentu sahaja. Ini bermakna para doktor dilarang daripada memberikan ubat bancuhan secara langsung kepada pesakit. Tekanan sedemikian terhadap amalan homeopati berlanjutan selama beberapa tahun. Lebih-lebih lagi, banyak artikel yang ditulis khas untuk memperkecilkan homeopati tersiar di akhbar dan jurnal-jurnal perubatan.
Tambahan lagi, ramai doktor perubatan homeopati turut didakwa, umpamanya Dr. Christian Hurnburg didakwa dan
dipenjarakan sehingga beliau meninggal dunia 3 hari kemudian. Dalam tekanan-tekanan sedemikian, Dr. Hahnemann telah menemui seorang panglima besar, Duke Ferdinand yang berpangkat dan beliau membenarkan Dr. Hahnemann meneruskan semula amalan homoeopati.
Selepas menghadapi pelbagai rintangan dalam mengusahakan homeopati, pada tahun1835, hanya kira-kira 3 bulan sebelum beliau menyambut hari jadinya yang ke-80, Dr. Hahnemann telah dipilih sebagai Honorary Member of the North American Academy of Homeopathy yang berpusat di Allentown, Pennsylania. Kolej Homeopati yang pertama telah didirikan di Amerika Syarikat oleh Dr. Constantine Hering, iaitu salah seorang daripada sahabatnya yang sama-sama berjuang dalam menegakkan sistem perubatan homeopati. Menjelang 1840-an, penentangan daripada kalangan doktor allopati telah berkurangan. Namun begitu, apabila Dr. Hahnemann meninggal dunia pada 2 Jul. 1843, perubatan homeopati sekali lagi telah mengalami kemerosotan akibat daripada sikap cemburu dan prejudis pakar perubatan lain terhadap amalan homoeopati.